Friday, December 11, 2009

Sultan Muhammad Al-Fatih Dan Pembukaan Istanbul 1453M

Hasrizal Abdul Jamil
BA (Hons) SHARIA Mu'tah University, Jordan


Pengenalan

Istanbul atau yang dulunya dikenali sebagai Costantinople, adalah salah sebuah bandar nostalgia dunia. Tidak setakat tercatat oleh tinta Sejarah Islam, bahkan statusnya sebagai salah sebuah bandar utama dunia, pasti mengundang seisi alam manusia untuk meninjau dan menghubungkan sejarah kegemilangan masing-masing dengannya Istanbul diasaskan pada tahun 330M oleh Maharaja Byzantine iaitu Costantine I.

Kedudukannya yang strategik, diungkapkan oleh Napoleon Bonapart sebagai, “…kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Costantinople inilah yang paling layak menjadi ibu negaranya!”. Costantinople telah pun menjadi ibu negara Empayar Byzantine semenjak penubuhannya. Ini menjadikan bandar berkenaan sebagai salah sebuah bandar terbesar dan utama dunia.

Kedudukan Costantinople yang sedemikian rupa, meletakkan ia di kedudukan yang istimewa apabila umat Islam memulakan agenda pertembungan mereka dengan Empayar Byzantine. Rasulullah SAW telah pun beberapa kali memberikan khabar gembira tentang pembukaan kota ini di tangan umat Islam seperti yang dinyatakan oleh Baginda SAW di dalam peperangan Khandak. Sabda baginda SAW :



“Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”

Terdapat banyak lagi hadith lain seperti ini dan ia menimbulkan keghairahan para khalifah dan pemimpin Islam untuk berusaha menawan kota Costantinople berkenaan. Usaha pertama dilancarkan pada tahun 44H iaitu di zaman Muawiyah bin Abi Sufian RA. Akan tetapi, usaha berkenaan gagal dan Abu Ayyub Al-Ansari yang merupakan salah seorang sahabat Nabi yang menyertainya, syahid di pinggir kota Costantinople berkenaan. Manakala di zaman Sulaiman bin Abdul Malik pula, Khilafah Umayah telah menyediakan pasukan terhandal untuk menawan kembali kota berkenaan pada tahun 98H tetapi masih belum diizinkan oleh Allah SWT. (rujuk Al-Ibar oleh Ibnu Khaldun 3 / 70 dan Tarikh Khalifah bin Khayyath ms. 315)

Di zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah, beberapa usaha diteruskan tetapi masih menemui kegagalan termasuk usaha di zaman Khalifah Harun Ar-Rasyid tahun 190H.

Selepas kejatuhan Baghdad tahun 656H, usaha menawan Costantinople diteruskan pula oleh kerajaan-kerajaan kecil di Asia Minor (Anatolia) terutamanya Kerajaan Seljuk. Pemimpin masyhurnya, Alp Arslan (455-465H / 1063-1072M) telah berjaya mengalahkan Maharaja Rum, Dimonos, pada tahun 463H / 1070M. Beliau telah menangkap lalu memenjarakannya sebelum dibebaskan dengan persetujuan untuk membayar jizyah tahunan kepada Kesultanan Seljuk. Peristiwa ini telah meletakkan sebahagian besar Empayar Rom di bawah pengaruh Kerajaan Islam Seljuk.

Bagaimana pun, selepas daripada merosot dan jatuhnya Kerajaan Seljuk berkenaan, terbentuk pula beberapa kerajaan kecil di Anatolia. Antaranya ialah kerajaan Seljuk Rum yang telah berjaya meluaskan kekuasaannya sehingga ke pantai Laut Ege di barat, seterusnya melemahkan pengaruh dan kekuasaan Empayar Rom.


Costantinople Dan Daulah Othmaniyyah

Di awal kurun ke-8 hijrah / 14M, Daulah Othmaniyyah telah mengadakan persepakatan bersama Seljuk Rum yang ketika itu berpusat di bandar Konya. Persepakatan ini memberikan nafas baru kepada usaha umat Islam untuk menawan Costantinople. Usaha awal yang dibuat ialah di zaman Sultan Yildrim Beyazid yang mana beliau telah berjaya mengepung kota itu pada tahun 796H / 1393M. Peluang yang ada telah digunakan oleh Sultan Beyazid untuk memaksa Maharaja Byzantine menyerahkan Costantinople secara aman kepada umat Islam. Akan tetapi, usahanya itu menemui kegagalan dengan kedatangan bantuan Eropah dan dalam masa yang sama, tentera Mongol di bawah pimpinan Timurlank telah menyerang Daulah Othmaniyyah. Serangan itu dikenali sebagai Perang Ankara dan ini telah memaksa Sultan Beyazid untuk menarik balik tenteranya bagi mempertahankan negara dari serangan Mongol. Dalam peperangan itu, beliau telah ditawan dan kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1402M. Kejadian itu telah menyebabkan idea untuk menawan Costantinople terhenti untuk beberapa ketika.

Selepas Daulah Othmaniyyah mencapai ke peringkat yang lebih maju dan tersusun, roh jihad telah hidup semua dengan nafas baru. Semangat dan kesungguhan yang ada itu telah mendorong Sultan Murad II (824-863H / 1421-1451M) untuk meneruskan usaha menawan Costantinople. Beberapa usaha telah berjaya dibuat untuk mengepung kota itu tetapi dalam masa yang sama berlaku pengkhianatan di pihak umat Islam. Mahajara Byzantine telah mengambil peluang ini untuk menabur fitnah dan mengucar-kacirkan saf tentera Islam. Usaha Sultan Murad II itu tidak berjaya sampai ke sasarannya sehinggalah di zaman anak beliau, Sultan Muhammad Al-Fatih, sultan ke-7 Daulah Othmaniyyah.

Semenjak kecil, Sultan Muhammad Al-Fatih telah meneliti dan meninjau usaha ayahnya menawan Costantinople. Bahkan beliau terus mengkaji tentang usaha-usaha yang pernah dibuat sepanjang sejarah Islam ke arah itu, sehingga menimbulkan keazaman yang kuat untuk beliau meneruskan cita-cita umat Islam zaman berzaman itu. Ketika menaiki takhta pada tahun 855H / 1451M, beliau telah mula berfikir dan menyusun strategi untuk menawan kota berkenaan..

Kekuatan Sultan Muhammad Al-Fatih banyak terletak pada ketinggian peribadinya. Semenjak kecil, beliau telah ditarbiah secara intensif oleh para ulamak terulung di zamannya. Di zaman ayahnya, iaitu Sultan Murad II, Asy-Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani telah menjadi murabbi Amir Muhammad (Al-Fatih). Ketika itu, Amir Muhammad adalah ketua bagi kawasan Manisa. Sultan Murad II telah menghantar beberapa orang ulamak untuk mengajar anaknya sebelum itu, tetapi tidak diendahkan oleh Amir Muhammad. Lalu, beliau menghantar Asy-Syeikh Al-Kurani dan memberikan kuasa kepadanya untuk memukul Amir Muhammad jika beliau membantah tunjuk ajar gurunya. Apabila beliau menemui Amir Muhammad dan menjelaskan tentang hak yang diberikan oleh baginda Sultan, Amir Muhammad ketawa lalu dipukul oleh Asy-Syeikh Al-Kurani dengan begitu kuat sekali. Peristiwa ini telah menimbulkan kesan yang mendalam pada diri Amir Muhammad lantas selepas itu beliau terus menghafal Al-Quran dalam masa yang singkat

Tarbiah yang diberikan oleh para ulamak murabbi itu memberikan pengaruh yang besar, bukan hanya kepada peribadi Sultan, bahkan kepada corak pemerintahan dan adat resam Daulah Othmaniyyah itu sendiri. Sekiranya Sultan melakukan kesilapan, murabbinya itu akan menegur. Sultan juga dipanggilnya dengan nama dan apabila bersalam, Sultan yang akan mencium tangan ulamak yang menjadi murabbinya itu.Dengan tarbiah yang teliti dan penuh terhormat seperti ini, tidak hairanlah jika peribadi-peribadi yang unggul seperti Muhammad Al-Fatih lahir menempa nama di persada sejarah..


Asy-Syeikh Ak Semsettin

Dalam masa yang sama Asy-Syeikh Ak Samsettin (Syamsuddin) merupakan murabbi Sultan Muhammad Al-Fatih yang hakiki. Namanya yang sebenar ialah Muhammad bin Hamzah Ad-Dimasyqi Ar-Rumi yang mana nasabnya sampai kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Beliau mengajar Amir Muhammad ilmu-ilmu asas iaitu Al-Qur'an, Al-Hadith, Feqah, Linguistik (Arab, Parsi dan Turki) dan juga ilmu kemahiran yang lain seperti Matematik, Falak, Sejarah, Ilmu Peperangan dan sebagainya.

Semenjak kecil, Syeikh Ak Semsettin berjaya meyakinkan Amir Muhammad bahawa beliau adalah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadith pembukaan Costantinople berkenaan. Apabila beliau menaiki takhta, Sultan Muhammad segera menemui Syeikh Ak Semsettin bagi menyiapkan bala tentera ke arah penawanan Costantinople, demi merealisasikan hadith Rasulullah SAW berkenaan. Peperangan yang maha hebat itu memakan masa selama 54 hari.

Sultan Muhammad Al-Fatih sangat menyayangi Syeikh Ak Semsettin. Beliau mempunyai kedudukan yang istimewa pada diri Sultan Muhammad Al-Fatih dan ini sangat jelas dinyatakan oleh beliau ketika pembukaan Istanbul, "...sesungguhnya kamu semua melihat aku gembira sekali. Kegembiraanku ini bukanlah semata-mata kerana kejayaan kita menawan kota ini, akan tetapi ia adalah kerana hadirnya di sisiku syeikhku yang mulia, dialah pendidikku, Asy-Syeikh Ak Semsettin."


Persediaan Ke Arah Penawanan

Sultan Muhammad Al-Fatih telah membuat persediaan yang besar ke arah mencapai matlamatnya menawan Costantinople. Beliau telah menyediakan mujahid seramai kira-kira 250,000 dan ini merupakan angka yang begitu besar jika dibandingkan dengan tentera negara lain di zaman itu. Para mujahid berkenaan diberikan latihan intensif dan sentiasa diperingatkan dengan pujian Rasulullah SAW kepada tentera yang akan menawan Costantinople itu nanti

Beliau telah membina Kota Rumeli (Rumeli Hisari) di tebing Eropah Selat Bosphorus iaitu di bahagian tersempit antara tebing Asia dan Eropah. Kota yang berhadapan dengan kota binaan Sultan Beyazid di sebelah tebing Asia ini, mempunyai peranan yang besar dalam usaha mengawal lalu lintas di selat tersebut. Maharaja Byzantine telah berusaha gigih untuk menghalang Sultan Muhammad Al-Fatih daripada membina kota berkenaan tetapi gagal menghalangnya.

Sultan Muhammad Al-Fatih juga berusaha untuk mempertingkatkan kelengkapan senjatanya. Beliau telah menapatkan khidmat pakar membina meriam bernama Orban. Beberapa meriam telah dibina termasuk Meriam Diraja yang masyhur. Catatan menceritakan betapa meriam ini adalah yang terbesar di zaman berkenaan. Beratnya beratus tan dan memerlukan beratus tenaga tentera untuk mengangkutnya. Beliau juga menyediakan kira-kira 400 buah kapal laut untuk tujuan yang sama.

Sebelum serangan dibuat, Sultan Muhammad Al-Fatih telah mengadakan perjanjian dengan musuh-musuh yang lain. Ini merupakan strategi yang penting supaya seluruh tenaga dapat ditumpukan kepada musuh yang satu tanpa ada sebarang ancaman yang berada di luar jangkaan. Antaranya ialah perjanjian yang dibuat dengan kerajaan Galata yang berjiran dengan Byzantine. Perkembangan ini sangat membimbangkan Maharaja Byzantine lantas pelbagai cubaan dibuat untuk menawan hati Sultan Muhammad Al-Fatih supaya membatalkan hasratnya. Hadiah dan rasuh cuba dibuat untuk tujuan berkenaan. Akan tetapi semuanya menemui kegagalan.

Keazaman yang begitu kuat pada diri Sultan Muhammad Al-Fatih telah mendorong Maharaja Byzantine berusaha mendapatkan pertolongan daripada negara-negara Eropah. Tanpa segan silu, beliau memohon pertolongan dari kepimpinan gereja Katholik, sedangkan ketika itu semua gereja di Costantinople bermazhab Orthodoks. Atas dasar bermuka-muka demi mengekalkan kuasanya, Maharaja Byzantine telah mengaku bersetuju untuk menukar mazhab di Costantinople demi menyatukan kedua-dua aliran yang saling bermusuh itu. Wakil telah dihantar dari Eropah ke Costantinople untuk tujuan berkenaan. Beliau telah berkhutbah di Gereja Aya Sofya menyatakan ketundukan Byzantine kepada Katholik. Akan tetapi hal ini telah menimbulkan kemarahan penduduk Costantinople yang bermazhab Orthodoks. Sehinggakan ada di antara pemimpin Orthodoks berkata, "sesungguhnya aku lebih rela melihat di bumi Byzantine ini serban para orang Turki (muslim) daripada aku melihat topi Latin!"Situasi ini telah mencetuskan pemberotakan rakyat terhadap keputusan maharaja yang dianggap khianat.


Serangan

Costantinople mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dari aspek geografi. Ia dikelilingi oleh lautan dari tiga penjuru iaitu Selat Bhosphore, Laut Marmara Dan Perairan Tanjung Emas (Golden Horn) yang dihalang pintu masuknya oleh rantai besi raksasa. Ia berfungsi menghalang kapal daripada masuk ke pintu utama Kota Costantinople.

Selepas melalui proses persiapan yang teliti, akhirnya Sultan Muhammad Al-Fatih telah tiba di hadapan kota Costantinople pada hari Khamis 26 Rabiul Awal 857H bersamaan 6 April 1453M. Di hadapan tentera yang menjangkau jumpa 250 ribu, Al-Fatih telah menyampaikan khutbah mengingatkan para mujahid tentang kelebihan jihad, kepentingan memuliakan niat dan harapan kemenangan di hadapan Allah SWT dsb. Beliau juga membacakan ayat-ayat Al-Quran mengenainya serta hadith Nabi SAW tentang pembukaan kota Costantinople. Ini semua memberikan kesan semangat yang tinggi dan jitu pada bala tentera itu lantas mereka menyambutnya dengan zikir, pujian dan doa kepada Allah SWT. Kehadiran para ulamak di tengah-tengah saf para mujahid itu juga menebalkan lagi keazaman mereka untuk menunaikan kewajipan jihad tersebut.

Keesokan harinya, Sultan Muhammad Al-Fatih telah menyusun dan membahagikan tenteranya kepada tiga kumpulan. Pertamanya adalah kumpulan utama yang bertugas mengawal kota yang mengelilingi Costantinople. Di belakang kumpulan utama itu adalah tentera simpanan yang bertugas menyokong tentera utama di hadapan. Meriam Diraja telah dihalakan ke pintu Topkapi. Pasukan pengawal juga diletakkan di beberapa kawasan strategik seperti kawasan-kawasan bukit di sekitar Kota Byzantine itu. Kapal-kapal laut Othmaniyyah juga diletakkan di sekitar perairan yang mengelilingi Costantinople. Akan tetapi kapal-kapal berkenaan tidak berjaya memasuki perairan Tanjung Emas disebabkan oleh kehadiran rantai raksasa yang mengawal pintu masuk.

Semenjak hari pertama serangan, tentera Byzantine telah berusaha keras menghalang tentera Othmaniyyah daripada merapati pintu-pintu masuk kota mereka. Tetapi serangan strategik tentera Islam telah berjaya mematahkan halangan itu, ditambah pula dengan serangan meriam dari pelbagai sudut. Bunyi meriam itu telah menimbulkan rasa takut yang amat sangat kepada penduduk Costantinople sehingga menjejaskan semangat mereka untuk bertahan.

Tentera Laut Othmaniyyah telah mencuba beberapa kali untuk melepasi rantai besi di pintu masuk Tanjung Emas. Dalam masa yang sama, panahan diarahkan kepada kapal-kapal Byzantine danEropah yang tiba untuk membantu. Walau bagaimana pun usaha ini tidak berjaya, dan ini memberikan semacam semangat di awalnya kepada penduduk Costantinople. Para paderi berjalan di lorong-lorong kota, mengingatkan penduduk supaya membanyakkan sabar serta terus berdoa kepada Jesus dan Maryam supaya menyelamatkan Costantinople. Maharaja Byzantine juga berulang-alik ke Gereja Aya Sofya untuk tujuan yang sama.


Perjanjian Al-Fatih Dengan Maharaja Costantine

Maharaja Costantine mencuba sedaya upayanya untuk menundukkan Al-Fatih. Pelbagai hadiah dan tawaran dikemukakan demi untuk menyelamatkan kedudukannya itu. Akan tetapi Al-Fatih tidak menerima kesemua tawaran itu sebaliknya memberi kata putus supaya Costantinople diserahkan kepada Daulah Othmaniyyah secara aman. Al-Fatih berjanji, jika Costantinople diserahkan secara aman, tiada seorang pun yang akan diapa-apakan bahkan tiada gereja dan harta benda penduduk Costantinople yang akan dimusnahkan. Antara isi kandungan risalahnya itu, "... serahkan empayar kamu, kota Costantinople. Aku bersumpah bahawa tenteraku tidak akan mengancam sesiapa sama ada nyawa, harta dan kehormatannya. Mereka yang mahu terus tinggal dan hidup dengan amat sejahtera di Costantinople, bebas berbuat demikian. Dan sesiapa yang mahu meninggalkan kota ini dengan aman sejahtera juga dipersilakan".

Walaupun begitu, kepungan tentera Al-Fatih masih belum sempurna disebabkan oleh rantai besi yang melindungi pintu masuk Tanjung Emas itu. Dalam pada itu, para mujahid tetap terus melancarkan serangan demi serangan dan pada 18 April 1453M, pasukan penyerang Othmaniyyah telah berjaya memecah tembok Byzantine di Lembah Lycos yang terletak di sebelah barat kota. Tentera Byzantine telah berusaha sedaya upayanya untuk mempertahankan kota dari serangan itu. Pertempuran sengit berlaku bersama iringan hujan anak panah yang amat dahsyat.

Pada hari yang sama, beberapa buah kapal laut Othmaniyyah telah cuba merempuh rantai besi di Tanjung Emas. Akan tetapi, gabungan tentera laut Byzantine dan Eropah telah berjaya menangkis serangan itu bahkan beberapa buah kapal laut Othmaniyyah telah musnah menyebabkan yang lain terpaksa pulang ke kawasan masing-masing untuk mengelakkan kemusnahan yang berterusan.

Dua hari selepas serangan itu, berlaku sekali lagi serangan laut antara kedua belah pihak. Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri mengawasi misi berkenaan dari pantai. Beliau telah menghantar utusan kepada tentera laut yang sedang berperang. Katanya, ".. sama ada kamu tawan kapal-kapal itu atau pun kamu tenggelamkan sahaja kesemuanya. Sekiranya kamu gagal, maka jangan pulang kepada kami sedangkan kamu semua hidup!".

Ketika itu juga, Sultan Muhammad Al-Fatih menunggang kudanya sehingga ke gigi laut sambil menjerit dengan sekuat hati nama ketua misi berkenaan, Palta Oglu, untuk memberikan semangat. Kesungguhan Al-Fatih itu, menaikkan semangat tenteranya. Namun, tentera kristian berjaya juga mematahkan serangan mujahidin walaupun mereka bersungguh- sungguh melancarkan serangan demi serangan. Kegagalan tersebut menyebabkan Sultan Muhammad Al-Fatih menjadi begitu marah lalu memecat Palta Oglu dan digantikan dengan Hamzah Pasha.

Kegagalan serangan tersebut telah memberikan kesan yang besar kepada tentera Othmaniyyah. Khalil Pasha yang merupakan wazir ketika itu cuba untuk memujuk Al-Fatih supaya membatalkan serangan serta menerima sahaja perjanjian penduduk Costantinople untuk tunduk kepada Daulah Othmaniyyah tanpa menakluknya. Cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh Al-Fatih. Kini tiba masanya beliau berfikir tentang helah untuk tentera laut Othmaniyyah berjaya membolos Tanjung Emas...


Keajaiban Tentera Othmaniyyah

Sultan Muhammad Al-Fatih telah menemui satu kaedah luar biasa untuk membawa kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas. Kaedah yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana tentera sebelumnya untuk melakukannya. Beliau telah memanggil tenteranya dan menyarankan kepada mereka supaya membawa kapal-kapal itu masuk ke perairan Tanjung Emas melalui jalan darat! Malam itu juga, tentera Othmaniyyah dengan semangat dan kekuatan luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari pantai Besiktas ke Galata melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu! Sesungguhnya kejadian ini sangat luar biasa dan di luar bayangan manusia hingga ke hari ini.

Pagi 22 April itu, penduduk Costantinople dikejutkan dengan laungan takbir dan nasyid para mujahidin di Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Bahkan ada yang menyangka bahawa tentera Al-Fatih mendapat bantuan jin dan syaitan! Yilmaz Oztuna di dalam bukunya Osmanli Tarihi menceritakan bagaimana seorang ahli sejarah Byzantine berkata, "Tidaklah kami pernah melihat atau mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fatih telah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fatih dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!"

Costantine telah bermesyuarat dengan para pemimpin kerajaan Byzantine tentang strategi seterusnya, tetapi mereka gagal mencapai kata sepakat. Costantine menolak cadangan supaya beliau sendiri pergi mendapatkan pertolongan daripada umat kristian di Eropah bahkan tetap dengan keputusannya untuk mempertahankan Costantinople hingga ke titisan darah yang terakhir.


Serangan Besar-besaran Mujahidin

Dengan kedudukan tentera Othmaniyyah yang sudah semakin mantap, Sultan Muhammad Al-Fatih telah melancarkan serangan besar-besaran ke benteng terakhir Byzantine. Tembakan meriam yang telah memusnahkan sebuah kapal dagang di Tanjung Emas, menyebabkan tentera Eropah yang lain lari ketakutan. Mereka telah meninggalkan pertempuran melalui kota Galata. Semenjak kejayaan kapal mujahiden memasuki perairan Tanjung Emas, serangan dilancarkan siang dan malam tanpa henti.

Laungan takbir "Allahu Akbar, Allahu Akbar!" yang mengisi ruang angkasa Costantinople telah memberikan semacam serangan psikologi kepada penduduk kota berkenaan. Seakan mendengar panahan petir, semangat mereka terus luntur dengan ancaman demi ancaman kalimah tauhid tentera Al-Fatih itu. Dalam masa yang sama, Al-Fatih dan tenteranya sentiasa mengejutkan mereka dengan seni perang yang baru sehingga menggawatkan pertahanan tentera salib itu.

Ketika ribut yang ada belum reda, penduduk Costantinople menyedari bahawa tentera Islam telah mengorek terowong untuk masuk ke pusat kota. Ketakutan melanda penduduk sehingga mereka curiga dengan bunyi tapak kaki sendiri. Merasakan yang bila-bila masa sahaja tentera 'Turki' akan keluar dari perut bumi berikutan dengan pembinaan terowong itu.


Usaha Damai Terakhir

Sultan Muhammad Al-Fatih yakin bahawa kemenangan semakin hampir. Kecintaannya kepada Costantinople yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW, mendorong beliau untuk terus berusaha agar Costantine menyerah kalah tanpa terus membiarkan kota itu musnah. Sekali lagi beliau menghantar utusan meminta Costantine supaya menyerahkan Costantinople secara aman. Apabila utusan berkenaan sampai kepadanya, Costantine telah berbincang dengan para menterinya. Ada yang mencadangkan supaya mereka menyerah kalah dan ada pula yang mahukan pertahanan diteruskan hingga ke penamat. Costantine akhirnya bersetuju dengan pandangan kedua lantas menghantar maklum balas dengan katanya, "... syukur kepada Tuhan kerana Sultan mahukan keamanan dan bersedia menerima pembayaran jizyah. Akan tetapi Costantine bersumpah untuk terus bertahan hingga ke akhir hayatnya demi takhta... atau mati sahaja dan dikuburkan di kota ini!". Apabila jawapan Costantine ini diterima, Al-Fatih menjawab, "Baiklah... tidak lama lagi akan terhasil bagiku di Costantinople itu sama ada takhta atau keranda...!".

Perbincangan dilakukan oleh Al-Fatih tentang strategi seterusnya. Pelbagai kemungkinan dipertimbangkan dan akhirnya keputusan dibuat untuk meneruskan rancangan menawan Costantinople sebagaimana yang telah disusun.


Hari Kemenangan

Pada 27 Mei 1453, Sultan Muhammad Al-Fatih bersama tenteranya telah berusaha keras membersihkan diri di hadapan Allah SWT. Mereka membanyakkan solat, doa dan zikir dengan harapan Allah SWT akan memudahkan kemenangan. Para ulamak pula memeriksa barisan tentera sambil memberi semangat kepada para mujahidin. Mereka diperingatkan tentang kelebihan jihad dan syahid serta kemuliaan para syuhada' terdahulu khususnya Abu Ayyub Al-Ansari RA. "...sesungguhnya apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah ketika kemenangan hijrah, baginda SAW telah pergi ke rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Sesungguhnya Abu Ayyub telah pun datang (ke Costantinople) dan berada di sini!" Kata-kata ini telah membakar semangat tentera Al-Fatih hingga ke kemuncaknya.

Dalam masa yang sama, penduduk Costantine melakukan upacara peribadatan secara bersungguh-sungguh dengan harapan Tuhan akan membantu mereka...

Tepat jam 1 pagi hari Selasa 20 Jamadil Awal 857H / 29 Mei 1453M, serangan utama dilancarkan. Para mujahidin diperintahkan supaya meninggikan suara takbir kalimah tauhid sambil menyerang kota. Penduduk Costantinople telah berada di kemuncak ketakutan mereka pagi itu. Mujahidin yang sememangnya menginginkan syahid, begitu berani menyerbu tentera salib di kota itu.

Tentera Othmaniyyah akhirnya berjaya menembusi kota Costantinople melalui Pintu Edirne dan mereka telah mengibarkan bendera Daulah Othmaniyyah di puncak kota. Costantine yang melihat kejadian itu berasa putus asa untuk bertahan lantas menanggalkan pakaian maharajanya supaya tidak dikenali musuh. Akhirnya beliau menemui ajal dalam keadaan yang amat mengaibkan.

Berita kematian Costantine telah menaikkan lagi semangat tentera Islam untuk menyerang. Begitu juga sebaliknya, bagaikan pokok tercabut akar, tentera salib menjadi kucar kacir apabila berita kematian maharajanya tersebar. Kesungguhan dan semangat juang yang tinggi di kalangan tentera Al-Fatih, akhirnya berjaya sampai ke cita-cita mereka. Kejayaan menguasai Costantinople telah disambut dengan penuh rasa syukur oleh Al-Fatih serta... seisi langit dan bumi. Beliau bertitah, ".. Alhamdulillah, semoga Allah merahmati para syuhada', memberikan kemuliaan kepada mujahidin, serta kebanggaan dan syukur buat rakyatku"


Sebaik-baik Ketua Dan Tentera

Pada hari itu, majoriti penduduk Costantinople bersembunyi di gereja-gereja sekitar kota. Sultan Muhammad Al-Fatih berpesan kepada tenteranya supaya bermuamalah dengan baik kepada penduduk Costantinople sambil mengucapkan tahniah kepada tenteranya yang berjaya merealisasikan sabda Rasulullah SAW:



“Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”

Dengan penuh rasa syukur dan tawadhu, Sultan Muhammad Al-Fatih telah sujud ke bumi mengucapkan sebesar-besar syukur ke hadrat Allah atas kemenangan bersejarah itu.

Beliau kemudiannya menuju ke Gereja Aya Sofya yang ketika itu menjadi tempat perlindungan sejumlah besar penduduk kota berkenaan. Ketakutan jelas terbayang di wajah masing-masing bilamana beliau menghampiri pintu. Salah seorang paderi telah membuka pintu gereja, dan Al-Fatih meminta beliau supaya menenangkan sekalian mereka yang ada. Dengan toleransi Al-Fatih, ramai yang keluar dari tempat persembunyian masing-masing bahkan ada di kalangan paderi yang terus menyatakan keislaman mereka.

Selepas itu, Sultan Muhammad Al-Fatih telah mengarahkan supaya gereja berkenaan ditukar menjadi masjid supaya Jumaat pertama nanti akan dikerjakan solat di masjid ini. Para pekerja bertugas bertungkus lumus menanggalkan salib, patung dan gambar-gambar untuk tujuan berkenaan. Pada hari Jumaat itu, Sultan Muhammad Al-Fatih bersama para muslimin telah mendirikan solat Jumaat di Masjid Aya Sofya. Khutbah yang pertama di Aya Sofya itu telah disampaikan oleh Asy-Syeikh Ak Semsettin. Pada hari itu juga Sultan Muhammad Al-Fatih telah bersumpah bahawa barangsiapa yang menukar Masjid Aya Sofya kembali kepada gereja, maka akan berolehlah kutukan dan laknat darinya dan Tuhan Masjid Aya Sofya itu.

Nama Costantinople kemudiannya ditukar kepada "Islam Bol", yang bermaksud "Bandar Islam" dan kemudiannya dijadikan sebagai ibu negara ketiga Khilafah Othmaniyyah selepas Bursa dan Edirne . Kekallah bumi yang mulia itu sebagai pusat pemerintahan, ketamadunan, keilmuan dan keagungan Islam berkurun lamanya.. sehinggalah Khilafah Othmaniyyah ditamatkan sejarahnya oleh Mustafa Kemal Ataturk secara rasminya pada tahun 1924M.

Aya Sofya kembali dikristiankan oleh Ataturk atas nama muzium. Gambar- gambar syirik kembali bertempelan di kubah masjid yang berdukacita itu. Manifesto Parti Refah pada pilihanraya yang lalu untuk mengembalikan Masjid Aya Sofya ke kegemilangan sejarahnya, berkubur buat sementara dengan pengharaman parti itu beberapa tahun yang lalu. Sesungguhnya seluruh umat Islam merindukan suara azan membesarkan Allah kembali berkumandang di menara Aya Sofya. Semoga Istanbul kembali ke pangkuan Islam dan muslimin. Amien ya Rabbal 'Alamin....

Read more...

USUL 20 AL-IMAM ASY-SYAHID HASAN AL-BANNA

1. Islam adalah satu system yang syamil merangkumi seluruh aspek hidup. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, material dan harta benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah, sebagaimana ia juga adalah aqidah yang benar dan ibadat yang sah.

2. Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan sumber rujukan bagi setiap muslim dalam memahami hukum-hukum Islam. Al-Quran hendaklah difahami mengikut kaedah-kaedah Bahasa Arab tanpa memberat-beratkan dan tidak pula membabi buta. Sunnah pula difahami melalui periwayat-periwayat Hadith yang thiqah.

3. Iman yang benar, ibadah yang sah dan mujahadah merupakan cahaya dan kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati sesiapa yang dikehendaki di kalangan hamba-hambaNya. Tetapi ilham, lintasan-lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil-dalil hukum syara’. Ia tidak diambil kira kecuali dengan syarat tidak berlawanan dengan hukum dan nas agama.

4. Tangkal, azimat, al-wad’ (sesuatu yang diambil dari laut seperti kulit kerang untuk menghindarkan sakit mata), al-ma’rifah (mengetahui sesuatu perkara dengan tanda-tanda awal untuk mencari barang kecurian, tempat orang sesat dsb), kihanah (pemberitahuan tentang perkara-perkara ghaib pada masa akan datang atau perkara yang tersembunyi di dalam hati orang lain) dan dakwaan mengetahui perkara ghaib dan perkara-perkara yang tergolong di dalam perkara ini merupakan perkara mungkar yang wajib diperangi melainkan jampi-jampi dari ayat Al-Quran atau jampi yang ma’thurah (datang dari Rasulullah SAW).

5. Pendapat Imam atau Naibnya dalam perkara-perkara yang tidak ada nas, yang boleh menerima andaian pelbagai segi dan yang berhubung dengan masalih al-mursalah boleh diterima sekiranya tidak bertentangan dengan kaedah-kaedah syara’. Kadang-kadang ia berubah menurut keadaan, uruf dan adat. Asal pada ibadat ialah ta’abbud tanpa melihat kepada makna-makna. Dan asal pada adat ialah melihat kepada rahsia, hikmah dan tujuan.

6. Setiap orang boleh diterima dan ditolak kata-katanya melainkan Rasulullah SAW yang maksum. Setiap yang datang dari salafus soleh yang bertepatan dengan Kitab Allah dan Sunnah RasulNya kita terima dengan sebulat hati. Akan tetapi jika berlawanan dengannya maka Kitab Allah dan Sunnah RasulNya lebih utama diikuti. Walau bagaimanapun kita tidak sekali-kali mengecam atau mendedahkan keburukan peribadi-peribadi tertentu di dalam masalah yang diperselisihkan. Kita hanya berserah kepada niat hati mereka. Sesungguhnya mereka berlalu dengan apa yang mereka lakukan.

7. Setiap muslim yang tidak sampai ke peringkat meneliti (nadzar) dalil-dalil hukum cabang (furu’) boleh mengikuti mana-mana Imam. Elok sekiranya seseorang itu cuba berijtihad sekadar yang beliau mampu bagi mengetahui dalil-dalilnya. Beliau juga hendaklah menerima setiap petunjuk yang disertai dengan dalil apabila beliau yakin dengan kebaikan dan kepada orang yang memberi petunjuk kepadanya. Jika sekiranya beliau terdiri dari kalangan orang yang berilmu, beliau hendaklah mencukupkan kekurangannya dari segi ilmu sehingga sampai ke peringkat meneliti dalil-dalil hukum.

8. Perselisihan fiqh dalam perkara cabang tidak sepatutnya menjadi sebab kepada perpecahan dalam agama dan tidak seharusnya membawa kepada perbalahan atau permusuhan. Setiap orang yang berijtihad ada pahalanya. Walau bagaimanapun tidak ada penghalang bagi melakukan tahqiq ilmu / penjelasan ilmiah dalam masalah-masalah yang diperselisihkan dalam suasana kasih saying kerana Allah SWT. Serta kerjasama dalam menyampaikan kebenaran tanpa terbawa-bawa kepada pertengkaran yang dicela serta taksub.

9. Setiap masalah yang tidak berdiri amal di atasnya maka melibatkan diri di dalamnya adalah membebankan diri dengan perkara yang ditegah syara’. Di antaranya ialah banyak furu’ di dalam hukum hakam yang tidak berlaku, melibatkan diri di dalam makna-makna ayat Al-Quran yang ilmu belum sampai kepadanya dan bercakap tentang kelebihan di antara sahabat R.A. dan khilaf yang berlaku di kalangan mereka. Setiap mereka mempunyai kelebihan bersahabat dengan Rasulullah SAW dan dibalas menurut niat mereka, tambahan pula takwil adalah dibenarkan.

10. Mengenal Allah SWT, mentauhid dan menyucikanNya adalah setinggi-tinggi aqidah Islam. Ayat-ayat sifat dan hadith-hadithnya yang sahih serta penyerupaaan yang layak denganNya, kita beriman dengannya sebagaimana ia datang tanpa takwil dan ta’thil. Kita jangan cuba mendedahkan khilaf di antara ulama’ di dalam masalah itu. Sudah cukup bagi kita apa yang telah cukup bagi Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya.

11. Setiap bid’ah dalam agama Allah adalah tidak mempunyai asas sama sekali yang dipandang baik oleh manusia hanyalah menurut hawa nafsu mereka, sama ada dengan cara menambah atau mengurangkannya adalah kesesatan yang wajib diperangi dan dihapuskan dengan cara yang paling baik sehingga tidak membawa kepada perkara yang lebih buruk dari bid’ah itu sendiri.

12. Bid’ah dengan cara menambah, meninggalkan dan beriltizam dengan sejenis ibadat mutlak adalah masalah khilafiyah. Setiap orang mempunyai pendapatnya sendiri dan tidak mengapa mencari hakikat berdasarkan dalil dan bukti.

13. Mencintai orang-orang yang saleh, menghormati dan memberi pujian terhadap amalan-amalan baik yang mereka lakukan adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wali-wali Allah ialah mereka yang disebut oleh Allah di dalam Al-Quran iaitu orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Karamah yang berlaku ke atas mereka hendaklah terjadi dengan syarat-syarat yang bertepatan dengan dengan syara’ serta mempercayai bahawa mereka adalah hamba yang diredhai oleh Allah SWT. Mereka tidak mampu untuk memberi manfaat atau mendatangkan mudharat ketika hidup atau pun setelah mereka mati. Mereka juga tidak mampu memberikan kurniaan yang ada pada mereka itu kepada orang lain.

14. Menziarahi kubur dalam apa keadaan sekali pun adalah perkara sunat yang disyariatkan dengan cara-cara yang ma’thur. Tetapi meminta pertolongan dari ahli-ahli kubur siapa sekali pun mereka, menyeru mereka kerana perkara tersebut, menuntut mereka menunaikan segala hajat sama ada dari dekat atau jauh, bernazar kepada mereka, membangunkan binaan di atas kubur, menyelimutinya, meneranginya, mengusap-ngusapnya, bersumpah dengan sesuatu selain Allah dan seumpamanya yang terdiri daripada perkara-perkara bid’ah adalah dosa-dosa besar yang wajib diperangi. Kita tidak mentakwilkan amalan-amalan ini dengan tujuan menutup jalan kemungkaran.

15. Berdoa apabila dibuat dengan cara bertawasul kepada Allah dengan salah satu makhluk-makhlukNya, merupakan perselisihan kepada masalah furu’ (cabang) di dalam kaifiat (cara-cara) berdoa, dan bukannya permasalahan aqidah.

16. Uruf yang salah tidak mengubah hakikat lafaz-lafaz syariat. Malah wajib dipastikan batas-batas pengertian yang dimaksudkan dari lafaz-lafaz itu, dan tidak melewati pengertian-pengertian yang dimaksudkan itu. Begitu juga mestilah diawasi sebarang lafaz-lafaz yang sengaja dikemukakan dengan tujuan tipu helah di dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan urusan dunia dan agama. Yang diambil kira ialah sesuatu yang dinamakan, bukan nama yang diberikan”.

17. Aqidah merupakan asas setiap amalan. Amalan hati lebih penting dari amalan anggota badan. Mencari kesempurnaan pada kedua-duanya adalah dituntut oleh syara’ walaupun darjat tuntutan pada kedua-duanya berbeza.

18. Islam membebaskan aqal. Menggalakkan supaya memerhatikan alam semesta, mengangkat kedudukan ilmu dan ulama’, mengalu-alukan sesuatu yang baik dan bermanfaat. Al-Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, di mana sahaja didapati maka dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya.

19. Boleh jadi perkara yang diteliti oleh pandangan syara’ tidak termasuk ke dalam perkara yang diteliti oleh pandangan aqal, begitu juga sebaliknya. Sungguh pun demikian, pandangan syara’ dan pandangan aqal tidak bercanggah dalam perkara-perkara yang qath’i (muktamad dan putus). Hakikat ilmiah yang sahih tidak bertentangan dengan kaedah syara’ yang tsabit. Perkara dzanni, dari kedua-duanya ditakwilkan, agar bersesuaian dengan qath’i. Sekiranya pandangan syara’ dan pandangan aqal masih berada di peringkat dzann, maka pandangan syara’lah yang lebih utama untuk diterima. Hinggalah pandangan aqal dapat mentsabitkan kebenarannya atau ia akan gugur dengan sendirinya.

20. Kita tidak mengkafirkan seorang Muslim yang telah mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan tuntutan-tuntutannya dan menunaikan kawajipan-kewajipannya dengan hanya berdasarkan kepada pendapat atau maksiat yang dilakukannya melainkan jika beliau:

• Mengakui kalimah kufur
• Mengengkari perkara agama yang diketahui secara dharuri
• Mendustakan ayat Al-Quran yang jelas pengertiannya.
• Menafsirkan Al-Quran dengan penafsiran yang tidak diterima oleh semua uslub Bahasa Arab dalam semua keadaan.
• Melakukan sesuatu yang tidak boleh ditafsirkan selain dari kufur.



** Usul ini telah disalin semula daripada buku Pandangan Semula Kepada Risalah Ta’alim oleh Muhammad Abdullah Al-Khatib, terbitan Pustaka Media Budi, sebagai sebahagian usaha dakwah, dan bukannya untuk tujuan komersil yang melanggar hakcipta penerbitan.

Read more...

IKHLAS - (Ust. Hasrizal Abdul Jamil)

Al- Imam Asy Syahid Hasan Al-Banna berkata :

“Yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah setiap akh Muslim mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan ganjaran pahala dari-Nya. Semua perkataan, amalan dan jihad tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kedudukan terkemuka atau mundur. Dengan itu beliau menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang mengejar sesuatu atau kepentingan.”

Firman Allah swt di dalam surah Al-An’am 162-163 yang bermaksud :

“Katakanlah olehmu: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian itulah aku diperintahkan.”

Dengan itu akh muslim dapat memahami slogan yang sering dilaungkan :

“Allah matlamat kami, Allah maha besar, bagi Allah segala pujian.”

Keterangan

Ikhlas ialah melakukan amalan semata-mata mencari keredhaan Allah swt, tanpa dicampuri dengan tujuan dunia. Amalannya tidak dicampuri dengan keinginan dunia, keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan tinggi di kalangan manusia, meminta pujian, lari dari kejian, mengikut hawa nafsu yang tersembunyi atau lain-lain lagi yang boleh dihimpunkan dalam : “Melakukan amalan bukan kerana Allah.”

Ikhlas dengan makna ini adalah buah dari tauhid yang sempurna iaitu mengesakan Allah taala dalam ibadat. Kerana itulah riya’ (menunjuk-nunjuk) yang merupakan lawan kepada ikhlas adalah perbuatan syirik. Syidad bin Aus berkata : “kami mengira riya’ adalah syirik kecil pada zaman Rasulullah saw.”

Rukun Bagi Amalan Yang Diterima

Setiap amal soleh mempunyai dua rukun. Allah swt tidak menerima sesuatu amalan melainkan jika memenuhi dua rukun tersebut iaitu :

pertama : ikhlas

kedua : bertepatan dengan sunnah dan syara’

Dengan rukun yang pertama tercapailah kesahihan batin dan dengan yang kedua tercapailah kesahihan lahir. Berkenaan dengan rukun yang pertama Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”

“Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak ada kena mengena dengan agama kami, maka ia adalah tertolak.”

Allah Taala telah menghimpunkan dua rukun tersebut pada banyak tempat dalam al-Quran. Di antaranya firman Allah swt dalam surah Luqman ayat 22 yang bermaksud :

“Sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah dalam dua keadaan dia berbuat baik, sesungguhnya dia telah berpegang pada ikatan yang teguh.”

Menyerah diri kepada Allah adalah mengikhlaskan niat dan beramal kerana-Nya. Membuat baik pula adalah mengikut sunnah Rasulullah saw. Fudhail bin ‘Iyadh berkata tentang firman Allah taala (al-Mulk : 2) yang bermaksud :

“Supaya dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang baik amalannya.”

“Amalan yang paling baik ialah yang paling ikhlas dan yang paling benar.”Orang bertanya kepada beliau: “Wahai Abu Ali, apakah yang dimaksudkan dengan yang paling ikhlas dan benar itu?” Beliau menjawab : “Sesungguhnya sesuatu amalan itu, jika ia ditunaikan secara ikhlas sahaja tetapi tidak menepati kebenaran, maka ia tidak akan diterima. Begitu juga jika ia menepati kebenaran tetapi jika tiada ikhlas, maka ia juga tidak diterima. Amalan yang diterima ialah yang ikhlas dan menepati kebenaran. Ikhlas adalah semata-mata kerana Allah dan kebenaran adalah mengikut sunnah.”

Kemudian Fudhail membaca firman Allah Taala dalam surah al-Kahfi ayat 110 yang bermaksud :

“Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan tuhannya, maka ia hendaklah melakukan amalan yang soleh dan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.”

Dari perkara di atas dapatlah kita ketahui bahawa niat yang ikhlas semata-mata tidak memadai supaya amalan diterima selagimana tidak bertepatan dengan sunnah dan syara’. Begitu juga amalan yang menepati syara’ tetapi tidak disertai dengan niat yang ikhlas kepada Allah tidak akan diterima.

Tanda-tanda Ikhlas

Ikhlas mempunyai banyak tanda dan alamatnya yang banyak. Ia terserlah di dalam kehidupan orang yang ikhlas akhlaknya dan pandangannya kepada diri sendiri dan manusia. Di antara tanda dan alamat tersebut ialah :

1. Beliau takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya. Lebih-lebih lagi jika beliau seorang yang berkebolehan. Beliau meyakini bahawa Allah menerima sesuatu berdasarkan batin bukannya zahir, jika seseorang manusia itu memiliki kemasyhuran di seluruh pelusuk dunia sekalipun, sedangkan niatnya bercampur-baur, maka ia tidak memberi apa-apa makna.

Inilah yang menjadikan ramai di kalangan ulama’ salafussoleh takut kalau hati-hati mereka ditimpa fitnah kemasyhuran, kemegahan dan sanjungan. Mereka memberi amaran kepada murid-murid mereka tentang perkara tersebut. Ibrahim bin Adham berkata :“Orang yang kasihkan kemasyhuran tidak berlaku adil terhadap Allah.”

Salim bin Hanzalah berkata :

“Ketika kami berjalan mengiringi Ubai bin Kaab, Umar melihat kepada beliau lantas memukulnya dengan cemeti. Ubai berkata : ‘ Lihatlah wahai Amirul Mukminin, apakah yang telah kamu lakukan?’ Umar menjawab : ‘ Ini adalah kehinaan kepada pengikut dan fitnah kepada orang yang diikut.”

Inilah pandangan tajam Saidina Umar yang berharga terhadap apa yang berlaku. Walaupun pada mulanya pada zahir yang remeh, tetapi ia akan memberi kesan yang besar terhadap para pengikut dan ketua yang diikuti.

Al Hassan berkata :

“Pada suatu hari Ibnu Mas’ud keluar dari rumahnya dan beliau diikuti oleh segolongan manusia. Beliau berpaling kepada mereka lantas berkata : ‘Mengapa kamu semua mengikut aku? Demi Allah jika sekiranya kamu mengetahui apa yang berlaku di dalam rumahku, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu yang mengikutiku.”

Al-Hassan berkata :

“Sesungguhnya bunyi sepatu orang-orang yang mengelilingi seorang lelaki boleh menggoncangkan hati orang-orang yang bodoh.” Pada suatu hari Al Hassan keluar lalu beliau diikuti oleh segolongan manusia. Beliau berkata : “Adakah kamu mempunyai hajat? Jika tidak, apakah yang akan menimpa kepada hati mukmin?”

Ayyub As Sakhaitani keluar bermusafir, lalu beliau dikelilingi oleh manusia yang ramai. Beliau berkata :

“Kalau tidak kerana aku mengetahui bahawa Allah swt mengetahui dalam hatiku bahawa aku benci kepada perkara ini, nescaya aku takut kemurkaan Allah swt.”

Ibnu Mas’ud berkata :

“Jadilah kamu sumber ilmu, lampu petunjuk, penunggu setia rumah, pelita di malam hari, hati-hati yang sentiasa baru, berpakaian buruk, kamu dikenal di kalangan ahli langit dan tidak dikenali oleh ahli bumi.”

Al Fudhail bin ‘Iyadh berkata :

“Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah. Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia tetapi dipuji di sisi Allah swt?”

Janganlah difahami dari athar-athar di atas bahawa ia menyeru kepada bersembunyi dan mengasingkan diri. Sesungguhnya athar-athar tersebut dari pemimpin-pemimpin para du’at yang soleh dan mempunyai peninggalan yang baik dalam arena da’wah kepada masyarakat.

Tetapi hendaklah difahami secara keseluruhannya bahawa ia adalah kesedaran terhadap bahaya syahwat diri yang tersembunyi dan berwaspada terhadap lubang dan jendela yang mana syaitan dapat menyusup masuk melalui ke dalam hati manusia.

Kemasyhuran pada zatnya bukanlah suatu yang tercela. Tidak ada di sana orang yang lebih masyhur dari para Nabi dan Khulaf Ar Rasyidin. Tetapi jika kemasyhuran itu wujud tanpa berusaha bersungguh-sungguh dan tamak untuk mendapatkannya, maka tidaklah menjadi kesalahan walupun ada keburukannya. Itulah yang disebut oleh Imam Al Ghazali :

“Ia menjadi fitnah kepada orang-orang yang lemah, tidak kepada orang-orang yang kuat.”

2. Orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah swt, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengawal hati dan dimasuki oleh sifat megah dan taajub dengan diri sendiri. Bahkan beliau merasa takut kalau-kalau dosanya tidak diampunkan oleh Allah atu kebaikannya tidak diterima. Setengah para solehin menangis bersungguh-sungguh di dalam sakitnya. Lalu sebahagian daripada orang yang menziarahinya berkata : Mengapa kamu menangis? Sedangkan kamu telah berpuasa, bersembahyang malam, berjihad, bersedekah, menunaikan haji dan umrah, mengajar dan berzikir? Beliau menjawab : Manalah aku tahu sama ada perkara itu termasuk di dalam timbangan amalanku dan diterima di sisi Tuhanku? Sedangkan Allah berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 27 :

“Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa.”

At Tirmizi meriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa :


“Aisyah, isteri Nabi saw berkata : ‘ aku bertanya Rasulullah saw tentang ayat ini (al Mukminin : 60) yang bermaksud :

“Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut.”

Aisyah berkata : ‘Adakah mereka itu orang yang meminum arak dan mencuri? Rasulullah menjawab : ‘Tidak, wahai anak as Siddiq, tetapi mereka ialah orang-orang yang berpuasa, bersembahyang dan bersedekah dalam keadaan mereka takut kalau-kalau amalan mereka tidak diterima. Merekalah orang-orang yang berlumba-lumba menuju kepada kebaikan.”

3. Beliau lebih suka melakukan amalan kebaikan secara tersembunyi dari amalan yang dipenuhi dengan iklan dan irama paluan kemasyhuran. Di dalam jamaah beliau lebih suka menjadi seperti tunjang pokok. Walaupun tunjang tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat mata, namun ia adalah asas untuk pokok itu tegak dan hidup.

Dari Umar Ibnu al Khattab ra bahawa beliau pergi ke masjid Rasulullah pada suatu hari. Beliau mendapati Mu’az bin Jabal duduk di sisi kubur Rasulullah saw dalam keadaan menangis. Umar bertanya : “Apakah yang membuatkan kamu menangis?” Mu’az menjawab : “Aku menangis kerana telah mendengar Rasulullah saw bersabda : ‘Sesungguhnya riya’ yang sedikit adalah syirik. Sesiapa yang memusuhi wali Allah, sesungguhnya dia telah berperang dengan Allah. Allah mengasihi orang-orang yang baik dan bertaqwa yang tidak dikenali. Apabila mereka hilang, orang tidak mencarinya dan apabila mereka ada, mereka, mereka tidak dipanggil dan dikenali. Hati-hati adalah lampu petunjuk, mereka keluar dari setiap tanah berdebu yang gelap.”

4. Sama sahaja di sisi beliau sebagai pemimpin atau tentera, selagi mana kedua-duanya adalah berkhidmat dengan da’wahnya. Hatinya tidak dapat dikuasai oleh perasaan cinta untuk muncul ke depan, berada di barisan hadapan, mahu menjadi pemimpin dan menjawat bahagian kepemimpinan. Bahkan mungkin beliau lebih mengutamakan untuk menjadi tentera biasa kerana takut berlaku cuai dalam melaksanakan kewajipan dan tugas kepimpinan. Dalam setiap perkara, beliau tidak berusaha untuk menjadi ketua dan tidak memintanya. Tetapi jika beliau dibebankan dengan tugas tersebut, beliau memikulnya dan memohon pertolongan dari Allah swt dalam melaksanakannya. Rasulullah saw menyifatkan golongan ini seraya bersabda yang bermaksud :

“Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kekang kudanya di jalan Allah dalam keadaan rambutnya kusut dan kakinya berdebu. Sekiranya beliau brtugas sebagai pengawal, beliau menjadi pengawal. Dan jika sekiranya beliau berada di belakang, beliau berada di belakang.”

Semoga Allah meredhai Khalid bin al Walid yang dilucutkan dari jawatan panglima tentera sedangkan ketika itu beliau adalah panglima tentera yang sentiasa menang dalam peperangan. Beliau lantas bekerja di bawah pimpinan Abu Ubaidah tanpa merasa gelisah ataupun menyesal.

5. Tidak menghiraukan keredhaan manusia jika disebaliknya adalah kemurkaan Allah swt. Sesungguhnya manusia berbeza-beza dari sudut tabiat, kecenderungan, cara berfikir dan matlamat mereka. Jadi percubaan untuk mendapat keredhaan mereka adalah satu matlamat yang tidak akan tercapai. Orang yang ikhlas tidak menyusahkan dirinya dengan perkara ini. Slogannya bersama Allah swt ialah :

Semoga kamu merasai kemanisan,
sedangkan kehidupan itu penuh kepahitan,
Semoga kamu menjadi redha,
sedangkan manusia marah,
Semoga ada orang memakmurkan,
di antara aku dan kamu,
sedangkan di antara aku dan dunia ada kehancuran,
Jika benarlah kamu mempunyai perasaan kasih,
maka semuanya menjadi mudah,
dan setiap sesuatu yang berada di atas tanah
adalah tanah…

6. Hendaklah cinta dan benci, memberi dan menahan, redha dan marah, semuanya kerana Allah swt dan agamanya, bukan kerana diri dan manfaatnya. Beliau tidak menjadi orang seperti orag-orang yang mengejar manfaat yng terdiri dari golongan munafiq yang dicela Allah di dalam kitabNya ( surah at Taubah : 58 ) yang bermaksud :

“Dan di antara mereka ada yang mencelamu tentng pembahagian zakat. Jika mereka diberi sebahagian daripadanya mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian daripadaya dengan serta merta mereka menjadi marah.”

Kadang-kadang saudara dapat melihat segelintir manusia yang bekerja di dalam medan da’wah, apabila ditegur oleh salah seorang saudaranya dengan perkataan yang menyakitkan hatinya, atau perasaannya dilukakan dengan perbuatan yang menyinggung jiwanya serta orang yang rapat dengannya atau kaum kerabatnya, beliau cepat marah dan melenting lalu meninggalkan amal dan harakah serta mengasingkan diri dari medan jihad.

Ikhlas kepada matlamat menuntutnya agar terus berada dalam da’wahnya, tetap kekal arah tujuannya walaupun dituduh salah, cuai dan melampau oleh orang lain. Ini adalah kerana beliau beramal kerana Allah swt, bukan kerana dirinya, keluarga atau orang tertentu di kalangan manusia.

Da’wah Allah bukan dimonopoli atau menjadi milik seseorang. Ia adalah da’wah kepada semua manusia. Mukmin tidak boleh meninggalkan da’wah kerana pendirian dan perbuatan-perbuatan tadi.

7. Beliau tidak bersifat malas, lembap atau ketinggalan kerana perjalanan yang jauh, buah yang lambat dapat dipetik, lambat mendapat kejayaan dan penat bekerja dalam menghadapi manusia yang bermacam ragam. Beliau tidak bekerja untuk berjaya atau mencapai kemenangan semata-mata, bahkan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah swt dan mematuhi perintahNya.

Sesungguhnya Allah tidak bertanya manusia pada hari kiamat : “Mengapa kamu tidak mencapai kemenangan?” tetapi Dia akan bertanya : “ Mengapa kamu tidak berjuang?” Dia tidak akan bertanya mengapa mereka tidak berjaya, tetapi bertanya kenapa mereka tidak bekerja.

8. Gembira dengan setiap kemunculan orang yang mempunyai kelayakan dalam barisan orang-orang yang bekerja untuk membawa panji-panji, memberi saham kepada amal dan memberi peluang kepada setiap yang berkebolehan menggantikan tempatnya tanpa cuba menyekat dan menghalangnya, atau menghina dan marah kepadanya. Bahkan kita melihat bahawa orang yang ikhlas itu, apabila melihat ada orang yang lebih baik darinya dalam memikul tugas, beliau mengundur diri dalam keadaan redha. Beliau akan mengutamakan orang itu dari dirinya dalam keadaan taat dan bahagia kerana beliau mengundur setapak ke belakang.

Keperluan Ikhlas Dalam Memikul Da’wah

Sesungguhnya bekerja untuk kedaulatan Islam dan mengembalikannya untuk memimpin kehidupan dengan aqidahnya, syariat, akhlak dan tamadunnya merupakan ibadat dan amalan yang mendekatkan diri dengan Allah swt. Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah swt dalam ibadat adalah satu perkara asasi untuk amalan diterima dan berjaya. Niat yang bercampur-baur merosakkan amalan, mencemarkan jiwa, melemahkan saf dan menghilangkan pahala.

Kerana rahsia inilah Imam al Bukhari memulakan kitabnya ‘ Al Jami’ As Sahih’ dengan hadith yang dianggap oleh sesetengah ulama’ sebagai satu perempat Islam atau satu pertiga darinya yang bermaksud :

“Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya itu kerana Allah dan rasulnya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan rasulnnya. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang akan didapatinya atau kerana perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah bergantung kepada tujuan dia berhijrah.”

Diriwayatkan bahawa sebab datangnya hadith ini adalah kerana seorang lelaki yang berhijrah ke Madinah kerana seorang perempuan yang dicintainya yang bernama Ummu Qais. Maka beliau digelar sebagai ‘ penghijrah Ummu Qais’.

Akh Muslim mestilah memeriksa sudut-sudut hatinya terhadap hakikat niatnya dan faktor pendorongnya. Jika ia mempunyai ruang untuk dunia dan syaitan, beliau berusaha untuk membersihkan hatinya dari perkara tadi dan mentuluskan niatnya kepada Allah swt. Beliau hendaklah memberi peringatan kepada dirinya dalam keadaan membebaskan diri dari menjadi abdi kepada yang lain sebagaimana ucapan isteri Imran (surah Ali Imran : 35) yang bermaksud :

“Wahai tuhanku, sesungguhnya aku telah nazarkan anak yang ada dalam kandunganku untuk memperhambakan diri kepadaMu. Kerana itu terimalah nazar itu daripadaku. Sesungguhnya Engkau Tuhan yang maha mendengar lagi maha mengetahui.”

Kalimah ‘muharraran’ (memperhambakan) yang disebut oleh ibu Maryam ini menunjukkan bahawa sudah menjadi sunnah Allah, Allah tidak menerima mana-mana amalan melainkan ianya ikhlas semata-mata keranaNya, tidak bercampur dengan yang lain dan bebas dari setiap ubudiyh kepada yang lain.

Sesungguhnya kebenaran tidak akan memimpin, kebaikan tidak akan tersebar, keadilan tidak akan tertegak, panji-panji kemuliaan akan jatuh dengan wujudnya orang-orang yang menggadaikan prinsip semata-mata mencari keuntungan duniawi dan orang-orang yang bersifay riya’ yang hanya mahu diri mereka dilihat orang, kata-kata mereka didengar, mereka menjadi buah mulut masyarakat dan boleh mengarahkan orang lain dengan jari telunjuk. Kebenaran, kebaikan dan kemuliaan hanya akan tegak dengan orang-orang yang ikhlas, yang berpegang teguh dengan prinsip, yang boleh mempengaruhi orang lain, bukan dipengaruhi. Mereka adalah orang-orang yang berkorban bukannya mengambil manfaat, memberi bukannya mengambil.

Penyakit-penyakit hati yang bercampu-baur dengan ikhlas dan merosakkan niat lebih bahaya dari penyakit tubuh badan. Ia boleh menggugurkan pahala dan menjauhkan orang dari jalan da’wah yang betul. Ia memang wujud dalam diri kita, tetapi kita boleh membendungnya dengan iman dan taqwa. Perkara ini memerlukan kesedaran dari kita, sentiasa muhasabah niat dan membersihkannya dari bercampur dengan penyakit-penyakit hati.

Read more...

About This Blog

Umpama DADU... Setiap Permukaan Memberi Persepsi Berbeza,
Umpama BUKU... Setiap Helaian Membuatkan Anda Semakin Bijaksana,
Begitu juga DI SINI... Setiap Halaman Pasti Membuatkan Hidup Anda Lebih Bermakna

Mutiara Kata

Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia,
tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak.

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP