Tuesday, November 3, 2009

Pesan Rasulullah

Akhlak mulia cermin keimanan

PEMBINAAN akhlak yang mulia bermula daripada pembentukan pada peringkat akar umbi iaitu dalam sebuah keluarga yang kecil, komuniti setempat dan warganegara secara umumnya. Islam menyatakan akhlak sebagai pengukur keimanan seseorang seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang mukmin yang sempurna imanya ialah yang terbaik akhlaknya." (Riwayat at-Tirmizi). Islam memerintahkan umatnya agar berakhlak baik dan mulia. Bagaimanapun, Islam tidak sekali-kali menitahkan umatnya supaya melakukan sesuatu yang di luar kemampuan diri.


Sujud tingkat tertinggi penghormatan

DARIPADA Ibnu Abbas, katanya, Rasulullah SAW membuka tirai (kamarnya ketika Baginda sakit akan wafat), padahal ketika itu jemaah sedang solat berjemaah diimamkan Abu Bakar. Lalu Baginda bersabda: "Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang Muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah." (Hadis riwayat Muslim) Kedudukan sujud ialah menungging dengan meletakkan tangan, lutut, hujung kaki dan dahi pada lantai. Ketika Allah meminta malaikat bersujud kepada Nabi Adam bererti inilah tingkat tertinggi daripada sebuah penghormatan. Sujud hanya untuk Allah. Allah meminta malaikat sujud hormat, bukan sujud penyembahan dan mengajar kita tingkat paling tinggi daripada rasa hormat adalah "Sujudlah pada Ku."

Tidak ada penyembahan yang lebih baik daripada sujud. Hal ini sekali gus membuang sifat angkuh seseorang dan menggantinya dengan berserah kepada Tuhan-Nya yang paling Agung. Inilah nilai kehambaan yang sebenar.
Petikan e-hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.


Iktikaf 10 awal Syawal

DARIPADA Aisyah, katanya: "Apabila Rasulullah SAW hendak iktikaf pada 10 yang akhir Ramadan, Baginda solat Subuh terlebih dulu, sesudah itu barulah Baginda masuk ke tempat iktikaf, iaitu sebuah bilik kecil yang dibuatkan khusus untuknya. “Baginda bermaksud hendak iktikaf selama 10 akhir Ramadan. Tetapi Zainab minta dibuatkan pula bilik kecil untuknya, begitu juga isteri Baginda yang lain. Maka dibuatkan orang semuanya. “Ketika Rasulullah SAW solat Subuh, dilihatnya banyak bilik-bilik kecil berderet-deret. Lalu Baginda bersabda: ”Kebajikan bagaimanakah yang kalian inginkan?” Lalu Baginda perintahkan supaya bilik itu dirobohkan semua dan Baginda kurangkan iktikafnya pada Ramadan itu dan menggantinya dengan iktikaf pada 10 awal Syawal.” (Hadis riwayat Muslim)


Amalan ziarah erat hubungan persaudaraan

DARIPADA Abu Syuraih al-Khiz'iy, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: "Bertamu (menziarah) itu tiga hari dan selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang Muslim menetap di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Sahabat bertanya:" Bagaimana caranya dia berdosa?" Jawab Baginda:”Orang itu menetap di rumah saudaranya, pada hal saudaranya itu tidak mempunyai apa-apa lagi yang akan dihidangkan (diberikan) kepada tetamunya itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari) Saling ziarah-menziarahi dapat merapatkan tali persaudaraan. Malah, kehadiran orang yang berziarah (bertamu) itu membawa rahmat kepada tuan rumah. Apabila tetamu meninggalkan rumah maka mereka akan membawa keluar dosa ahli rumah. Sebagai tuan rumah, setiap tetamu perlu dilayan dengan penuh hormat, dihidangkan dengan makanan yang bagus (mengikut kemampuan) dan beramah tamah dengan penuh kemesraan.

Sebagai tetamu pula, kita harus menghormati dan memahami adat (etika) ketika bertamu seperti memilih masa yang sesuai, memastikan percakapan tidak menyakiti hati tuan rumah, tidak meninggikan suara sehingga mengganggu ahli rumah yang lain yang hendak tidur dan sebagainya. Begitu juga, tidak melakukan perkara yang tidak disukai oleh tuan rumah, tidak berbual terlalu lama sehingga mengganggu masa tuan rumah (terutama jika kita tahu dia mempunyai tugasan lain yang perlu diselesaikan) dan tidak merungut disebabkan kekurangan yang tidak mampu disediakan oleh tuan rumah. Selepas bertamu, ucapkan terima kasih di atas segala layanan yang diberikan. Bersalaman sebelum berpisah, di samping mengucap kata-kata yang disukai oleh tuan rumah.

Paling penting hendaklah sentiasa menjaga rahsia (jika ada) sama ada yang berkaitan dengan diri tuan rumah, rumah atau ahli rumah yang lain demi mengelak terjadinya perbalahan dan permusuhan.


Amal ibadat malam raya

DARIPADA Abi Umamah daripada Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu." (Hadis riwayat Ibnu Majah) Umat Islam digalakkan menyambut hari raya dengan takbir dan tahmid sebagai menandakan kesyukuran kepada Allah. Malah orang yang beriman yang menghidupkan malam hari raya dengan beramal dan beribadat kerana Allah, hatinya akan hidup (bahagia dan gembira). Mereka akan mendapat balasan yang baik di sisi Allah. Sebaliknya orang yang kufur ingkar, hatinya mati (hampa dan kecewa) pada hari itu, kerana dimurkai Allah dan ditimpa balasan.


Hari diharam puasa

DARIPADA Umar bin Khathab, katanya: "Dua hari ini dilarang Rasulullah SAW untuk berpuasa, iaitu Aidilfitri selepas kalian berpuasa (Ramadan) dan hari raya makan (daging korban - Aidiladha) selepas kalian menunaikan ibadah haji." (Hadis riwayat Muslim) Hikmah diharamkan berpuasa pada hari raya kerana ketika semua orang bergembira, seseorang itu hendaklah bersama meraikannya.


Dunia ibarat kebun untuk raih hasil di akhirat

DARIPADA Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Setiap umatku masuk ke dalam syurga selain orang yang enggan. Mereka bertanya: "Ya Rasulullah! Siapakah yang enggan itu? Jawab Baginda: "Siapa yang mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintahku maka sesungguhnya orang itu enggan." (Hadis riwayat al-Bukhari) Dunia ini adalah kerajaan Allah. Segala yang ada di alam ini adalah daripada kurniaan rahmat Allah. Manusia adalah khalifah Allah, diciptakan untuk memuja Allah dan memikul amanah Allah. Hidup ini adalah pemberian Allah dan kematian pula adalah qadar atau ukuran daripada Allah.

Dunia ini adalah kebun tempat manusia berusaha untuk mematuhi perintah Allah dan akhirat adalah masa menuai dan menerima balasan daripada Allah. Orang yang berbahagia ialah mereka yang menurut petunjuk Allah dan rasul-Nya, dan orang yang malang ialah mereka yang membelakangkan diri daripada pengajaran Allah dan rasul-Nya. Manusia yang ditugaskan memikul beban dan tanggungjawab di dunia hendaklah mempunyai persiapan untuk kehidupan yang selamanya di negeri yang abadi di mana kematian adalah jambatan yang menghubungkan antara kedua-duanya. Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Amal ibadat malam raya

DARIPADA Abi Umamah daripada Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu." (Hadis riwayat Ibnu Majah) Umat Islam digalakkan menyambut hari raya dengan takbir dan tahmid sebagai menandakan kesyukuran kepada Allah. Malah orang yang beriman yang menghidupkan malam hari raya dengan beramal dan beribadat kerana Allah, hatinya akan hidup (bahagia dan gembira). Mereka akan mendapat balasan yang baik di sisi Allah. Sebaliknya orang yang kufur ingkar, hatinya mati (hampa dan kecewa) pada hari itu, kerana dimurkai Allah dan ditimpa balasan.


Dunia ibarat kebun untuk raih hasil di akhirat

DARIPADA Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Setiap umatku masuk ke dalam syurga selain orang yang enggan. Mereka bertanya: "Ya Rasulullah! Siapakah yang enggan itu? Jawab Baginda: "Siapa yang mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintahku maka sesungguhnya orang itu enggan." (Hadis riwayat al-Bukhari) Dunia ini adalah kerajaan Allah. Segala yang ada di alam ini adalah daripada kurniaan rahmat Allah. Manusia adalah khalifah Allah, diciptakan untuk memuja Allah dan memikul amanah Allah. Hidup ini adalah pemberian Allah dan kematian pula adalah qadar atau ukuran daripada Allah.

Dunia ini adalah kebun tempat manusia berusaha untuk mematuhi perintah Allah dan akhirat adalah masa menuai dan menerima balasan daripada Allah. Orang yang berbahagia ialah mereka yang menurut petunjuk Allah dan rasul-Nya, dan orang yang malang ialah mereka yang membelakangkan diri daripada pengajaran Allah dan rasul-Nya. Manusia yang ditugaskan memikul beban dan tanggungjawab di dunia hendaklah mempunyai persiapan untuk kehidupan yang selamanya di negeri yang abadi di mana kematian adalah jambatan yang menghubungkan antara kedua-duanya. Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia



Kekang nafsu jihad terbesar

RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: "Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya." (Hadis riwayat al-Bukhari) Mengendalikan hawa nafsu adalah jihad terbesar yang sangat berat dan wajib dilakukan manusia. Tanpa kemampuan mengendalikan hawa nafsu, manusia akan jatuh ke jurang kehinaan kerana nafsu sentiasa mengajak kepada keburukan dan kemudaratan. Orang yang mengikut nafsu sering semakin asyik dengan kesesatannya itu, bahkan sampai tidak berasa berdosa dengan maksiat dilakukan sehingga sanggup dan tanpa malu melakukan tindakan melampaui batas.


Solat ikut kemampuan diri

DARIPADA Anas, katanya: Pada suatu ketika Rasulullah SAW masuk ke masjid. Lalu dilihatnya ada sebuah tali terbentang di antara dua batang tiang, maka Baginda bertanya: "Tali apakah ini?" Jawab sahabat: “Tali yang dibentangkan Zainab untuk dia solat. Apabila dia malas atau letih, dia berpegang pada tali itu.” Sabda Baginda:”Bukalah tali itu. Solatlah sesuai dengan kemampuanmu masing-masing; apabila kamu malas atau letih, maka kamu boleh solat sambil duduk.” (Hadis riwayat al-Bukhari)


Jangan putus asa

DARIPADA Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda bermaksud: "Allah sentiasa memperkenankan doa seseorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan." Lalu Baginda ditanya oleh seseorang: “Apa maksudnya meminta dicepatkan?" Jawab Baginda: "Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya:”Aku berdoa, aku berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa." (Hadis riwayat Muslim)


Keras kepala, tak suka belanja harta ahli neraka

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: "Bukankah aku sudah memberitahu kamu mengenai ahli-ahli neraka? Mereka itu ialah orang yang keras kepala, sombong, suka mengumpul harta tetapi tidak suka membelanjakannya untuk kebaikan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keras kepala (degil) adalah sifat orang yang tidak mahu menerima sesuatu kebenaran. Begitu juga orang yang tamak pada harta benda dan tidak suka membelanjakan harta untuk kebaikan kerana sombong dan angkuh dengan kekayaan yang dimiliki, mereka ini tergolong sebagai ahli neraka.

Harta adalah amanah Allah kepada manusia. Oleh itu, ia hendaklah dibelanjakan untuk diri, keluarga dan orang di dalam tanggungan serta memberi bantuan kepada orang yang memerlukannya dengan cara yang diredai Allah.


10 malam terakhir patut jadi rebutan

DARIPADA Abu Hurairah berkata: "Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) pada Ramadan tanpa memerintahkan secara wajib, Baginda bersabda: "Sesiapa yang solat malam pada Ramadan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang lalu." Rasulullah SAW menggalakkan umatnya supaya menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadat kerana fadilatnya amat besar di sisi Allah. Kini, Ramadan yang memasuki sepuluh malam terakhir sepatutnya menjadi rebutan umat Islam meningkatkan amalan terutama solat pada waktu malam seperti dilakukan Rasulullah SAW.

Mengenai sepuluh malam terakhir Ramadan, Rasulullah SAW dalam kebanyakan hadis memberitahu kemungkinan besar pada malam itu terutama malam ganjil adalah malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan melebihi seribu bulan.


Pintu ar-Rayyan khas buat orang berpuasa

DARIPADA Sahl bin Sa'ad berkata bersabda Nabi Muhammad SAW: "Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang yang berpuasa pada hari kiamat. Tidak dapat masuk dari pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya: "Di manakah orang yang telah berpuasa?" Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa saja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa saja." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar. Oleh itu kedudukannya di sisi Allah sangat mulia di mana Allah menyediakan pintu khas ke syurga yang dinamakan ar-Rayyan. Malaikat yang menjaga pintu itu akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke syurga melalui pintu ar-Rayyan yang dijaganya dan tidak ada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak saja.


Belanja harta untuk kebaikan

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: "Bukankah aku memberitahu kamu mengenai ahli-ahli neraka? Mereka itu ialah orang yang keras kepala, sombong, suka mengumpul harta tetapi tidak suka membelanjakannya untuk kebaikan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Keras kepala (degil) adalah sifat orang yang tidak mahu menerima kebenaran. Begitu juga orang yang tamak pada harta dan tidak suka membelanjakan harta untuk kebaikan kerana sombong, mereka ini tergolong sebagai ahli neraka.

Harta adalah amanah Allah kepada manusia. Oleh itu, ia hendaklah dibelanjakan untuk diri, keluarga dan tanggungan serta memberi bantuan kepada orang yang memerlukannya dengan cara diredai Allah.


Fakir malu tagih bantuan berhak zakat

DARIPADA Abu Hurairah, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta-minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila dia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma - dia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan dia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan (orang inilah yang sebenarnya layak diberi zakat)." (Hadis riwayat Imam Ahmad)


Wajib bayar hutang walaupun meninggal

DARIPADA Abu Hurairah katanya: "Seseorang lelaki memberi hutang kepada Rasulullah lalu ditagihnya secara kasar. Oleh sebab itu, sahabat tidak senang terhadap orang itu. Maka, bersabda Nabi SAW:" Orang yang memberi hutang berhak menagih. Belikan dia seekor unta muda kemudian berikan kepadanya!” Berkata sahabat: “Tidak ada unta muda ya Rasulullah! Yang ada hanya unta dewasa dan lebih bagus daripada untanya. Sabda Baginda: “Belilah, kemudian berikan kepadanya. Sesungguhnya sebaik-baik kamu ialah yang paling baik membayar hutang.” (Hadis riwayat Muslim)

Orang yang berhutang hendaklah menjelaskan hutangnya kerana Allah mengetahui apa yang mereka lakukan. Membayar balik hutang adalah sesuatu yang wajib sehingga harta orang yang sudah meninggal dunia pun perlu ditolakkan hutang-piutang mereka terlebih dulu, sebelum diagihkan kepada waris. Bukan itu saja Islam juga menjanjikan bahawa jika seseorang itu berhutang dengan niat untuk membayar, insya-Allah, Allah akan memudahkan ia membayarnya. Sebaliknya, jika berhutang dan berniat tidak mahu membayar, maka Allah Maha Kaya dalam perhitungan-Nya.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: “Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan membayarkan. Tetapi, jika sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya." Maksud ‘Allah akan membayarkan’ di sini adalah Allah akan memudahkan rezeki seseorang itu agar dia dapat membayar hutangnya dan begitulah jika sebaliknya.


Musafir diseru terus puasa

DARI Hamzah bin Umar al-Islami bahawa dia pernah bertanya Rasulullah SAW, katanya: "Ya Rasulullah, rasanya saya tahan berpuasa dalam masa musafir, oleh itu adakah saya bersalah (kalau saya berpuasa)?" Rasulullah SAW menjawab: "Itu adalah satu rukhsah (kemudahan) dari Allah Ta'ala, sesiapa yang menggunakan kemudahan itu (ia tidak berpuasa dalam masa musafir), maka itu adalah baik, dan sesiapa yang memilih untuk berpuasa maka orang itu tidak dikira bersalah." (Hadis riwayat Muslim) Orang musafir pada Ramadan, dibenarkan meneruskan puasa dan tidak tahan berpuasa mereka dibenarkan berbuka tetapi diwajibkan mengqadanya pada masa lain. Islam agama mementingkan kebajikan penganutnya. Ia memberi kemudahan (rukhsah) kepada sesiapa sedang sakit atau ketika dalam perjalanan (musafir), tidak berkemampuan dan sebagainya.

Sama sekali tidak terdapat paksaan hingga mendatangkan kemudaratan. Kita disuruh mengerjakan suruhan Allah dengan penuh keikhlasan, keyakinan dan ketaatan bahawa setiap perintah Allah itu mengandungi kebaikan dan hikmah tersendiri sama ada diketahui atau tidak oleh manusia.


Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia

ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam." Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram.

Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.


Berbuka dulu sebelum solat

DARIPADA Anas berkata: "Sudah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila makan malam (berbuka) disediakan, maka mulailah makan sebelum solat Maghrib, janganlah mendahului solat daripada makan malam itu (yang sudah terhidang)." Rasulullah SAW sentiasa menyegerakan berbuka selepas terbenam matahari dan Baginda berbuka dengan kurma atau air kerana makanan paling tepat untuk perut yang sedang kosong ialah makanan manis. Selain itu, kurma mengandungi khasiat yang sesuai untuk orang berpuasa dan turut dijadikan hidangan Rasulullah SAW waktu bersahur sebagai sumber tenaga untuk sehari.

Amalan berbuka puasa mengikut waktu yang tepat, tidak melengahkannya dan memakan pula makanan sesuai adalah amalan yang menjadi sunnah Rasulullah SAW. Sikap berbuka secara gelojoh dan terus sekali gus memakan segala macam makanan, termasuk yang manis, masam dan seumpamanya, tidak mendatangkan kebaikan kepada diri, sebaliknya ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Justeru, sebaik-baik amalan berbuka eloklah dicontohi sunnah Rasulullah.


Rasulullah lebihkan sifat dermawan

DIRIWAYATKAN dalam sahih Al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Abbas, katanya: “Nabi Muhammad saw ialah orang yang paling dermawan dan Baginda lebih dermawan pada Ramadan ketika Rasulullah ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya al-Quran. “Jibril menemui Baginda setiap malam pada Ramadan, lalu membacakan kepadanya al-Quran. “Rasulullah ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus.”

Hadis ini diriwayatkan pula oleh Ahmad dengan tambahan: “Dan Baginda tidak pernah dimintai sesuatu kecuali memberikannya.” Menurut riwayat Al-Baihaqi daripada Aisyah, katanya: “Rasulullah jika masuk Ramadan membebaskan setiap tawanan dan memberi setiap orang yang meminta.” Dermawan adalah sifat murah hati dan banyak memberi. Allah pun bersifat Maha Pemurah, Allah Maha Pemurah, kedermawanan-Nya berlipat ganda pada waktu tertentu seperti Ramadan.

Rasulullah ialah manusia yang paling dermawan, mulia, berani dan amat sempurna dalam segala sifat terpuji. Kedermawanan Baginda pada Ramadan berlipat ganda berbanding bulan lain seperti kemurahan Tuhannya berlipat ganda pada bulan ini. Ramadan adalah masa Allah menderma kepada hamba-Nya dengan rahmat, ampunan dan pembebasan daripada api neraka, terutama pada Lailatul Qadar. Allah melimpahkan kasih-Nya kepada hamba-Nya yang bersifat kasih. Maka, barang siapa menderma kepada hamba Allah, nescaya Allah Maha Pemurah kepadanya dengan anugerah dan kebaikan. Balasan itu adalah sejenis dengan amal perbuatan.


Ganjaran pahala hadir majlis ilmu

KEDATANGAN Ramadan tidak menghalang seseorang daripada menuntut ilmu budaya menambahkan pengetahuan memang dituntut tidak kira bila atau di mana juga. Daripada Anas bin Malik, katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghadiri majlis ilmu pada Ramadan, Allah mencatat setiap langkahnya menyamai ibadat setahun dan dia bersamaku (Rasulullah) di bawah Arasy. Justeru, Ramadan bukan saja bulan latihan, kesabaran dan berkat, malah bulan ilmu. Ia memberi peluang kepada seseorang mendapat ganjaran dan pahala serta menjauhkan diri perkara sia-sia.

Dalam Kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa Abu Darda’ berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kami menjadi orang berilmu. Jika tidak, jadilah orang yang mempelajari ilmu.” “Jika tidak, jadilah orang yang mendengar ilmu. Jangan kamu jadi golongan keempat (yang tidak termasuk dalam golongan itu). Hendaklah kamu tinggalkan perbuatan golongan keempat itu.”


Jalin silaturahim panjangkan umur, murah rezeki

APAKAH amalan paling mudah semoga Allah permudahkan rezeki dan panjangkan umur? Jawapannya begitu mudah iaitu menghubungkan silaturahim. Perkara ini dijelaskan daripada Anas bin Malik, katanya, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: ”Sesiapa yang ingin dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, maka hendaklah dia memperhubungkan silaturahim (hubungan kasih sayang).” (Hadis riwayat Bukhari) Silaturahim adalah suatu ikatan yang suci yang menuntut kita sebagai umat Islam sentiasa menjaganya. Malah, seseorang itu tidak dikatakan beriman selagi ia tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.

Jalinan silaturahim amat penting bagi sesebuah ummah itu hidup lebih cemerlang dan berjaya. Ia disebabkan ukhuwah yang dipupuk di atas rasa cinta dan kasih kerana Allah pasti akan memberikan kekuatan pada jiwa mana-mana individu.


Bidadari berhias sambut Ramadan

DARIPADA Anas, katanya, Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: "Tiada daripada seorang hamba apabila melihat sehari Ramadan, lantas dia memuji Allah (kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaannya). Kemudian dibacanya al-Fatihah tujuh kali, melainkan di'afiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan itu." Berkata pula Saidina Ali bahawa Rasulullah bersabda: ”Apabila engkau melihat sehari Ramadan, maka bacalah olehmu ’Allahu Akbar’ tiga kali kemudian bacalah: “Segala kepujian bagi Allah yang menjadikan aku dan engkau dan menentukan bagi engkau pangkat (darjat) dan menjadikan engkau tanda (kekuasaan-Nya) bagi sekalian alam” atau bacakan: “Ya Allah! zahirlah Ramadan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhan engkau, Allah” Bersabda Nabi bahawa: “Bahawa syurga berlenggang-lenggang dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya Ramadan.

“Pada awal malam Ramadan bertiup angin di bawah Arasy dan bergerak daun kayu dengan lemah longlainya ke dalam syurga, terdengar desiran daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang amat indah, seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani, maka berhias bidadari sekaliannya hingga berdiri di atas puncak mercu syurga itu. “Lantas bersuaralah bidadari: “Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah.” Kata bidadari lagi: “Apakah malam ini namanya?” Jawab Malik Ridwan: “Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadan.” Lalu Allah berfirman: “Hai Ridwan, bukalah pintu syurga Babuljannah untuk orang yang berpuasa daripada umat Muhammad. “Hai Malik Zabaniah, tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad. Hai Jibril belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka, berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali: “Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkannya.”


'Hidupkan malam dengan solat sunat, zikir'

DARIPADA Abu Hurairah berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiamullail (solat malam) pada Ramadan tanpa memerintahkan secara wajib, Baginda bersabda: "Sesiapa yang solat malam Ramadan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang lalu." Rasulullah SAW amat menggalakkan umat supaya menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadat kerana fadilatnya amat besar di sisi Allah. Di antara amalan dilakukan oleh Rasulullah ialah melakukan solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, membanyakkan istighfar serta beriktikaf di masjid. Kita sepatutnya mencontohi Baginda serta berusaha bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan memanfaatkan bulan ini terutama pada 10 malam terakhir Ramadan.

Rasulullah SAW dalam kebanyakan hadis memberitahu mengenai kemungkinan besar pada malam ini terutama malam ganjil adalah lailatul qadar yang mempunyai kelebihan melebihi 1,000 bulan.

0 comments:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP